Selasa, 26 Oktober 2010

Semoga dapat mengerjakannya..

Tajuk N3 adalah tajuk email hubby..lantaran pergi menghantar mak dan abah menunaikan ibadah haji pada usia yang sudah tua..tergerak di hati sepatutnya muda2 dah pergi kerana melihat keadaan abah yang lemah dengan macam2 penyakit dan menarik bagasi pun macam terhuyung hayang je..jadi kami berazam untuk daftar haji apabila caruman sudah cukup rm1000..selalunya menyimpan di tabung haji pastu tak cukup duit pergi korek pulak..selepas sudah daftar haji duit di dalam tabung haji tidak boleh dikeluarkan lagi...bagi saya itu sebaiknya..duit untuk kecemasan haruslah di simpan di akaun lain..tidaklah banyak simpanan di tabung haji yang boleh di buat setiap bulan lantaran kehidupan di bandar ini bagi saya amatlah memerlukan belanja yang besar ditambah pula dengan keperluan anak2 yang masih kecil.

Contoh yang terdekat semalam hari gaji,saya dan cik yah berpuasa jadi letih nak memasak,minta hubby belikan makanan berbuka..kami beli mee goreng mamak,kuehtiaw goreng,nasi beriani dengan ayam 2 ketul coz berkongsi makan dgn anak2 dan teh mamak 2 bungkus harganya sudah mencecah rm26! jadi haruslah saya berusaha setakat yang boleh untuk memasak sahaja di rumah walaupun kekadang mood saya tak tentu kan..

Kami menabung pun secara bergilir2, jika bulan ini carum untuk anak2 di tabung haji ,bulan depan akan carum ke akaun kami pula...jika ada rezeki lebih boleh la ada ekstra caruman..itu sebaiknya sebab timbul juga rasa bimbang di hati saya akan dimurkai Allah dengan alasan tiada kemampuan ke arah situ sedangkan kadang2 mende2 yang dirasakan tidak la penting sangat boleh di beli oleh kami contohnya seperti handphone yang canggih2 (handphone kami cuma yang berharga rm300 sahaja), microwave (yang tak ada pun boleh hidup), dvd player (pun sama takde pun boleh hidup) , aksesori2 (ni hobi saya, insaf la!) , pantang tengok baju dan tudung cantik2 mula gatal nak beli!gatai beli pinggan mangkuk lagi, tupperware la, kamera digital la dan macam2 lagi la..diakui saya la yang banyak membeli yang tidak penting dari pada hubby yang hanya belanja untuk KEPERLUAN sahaja TETAPI dia ada juga yang paling TAK PENTING dibelanjakan iaitu ROKOK (hubby plz take notes this ha)

Jadi wajibla bagi kami berusaha ke arah menunaikan rukun islam yang ke-5 itu..dengan niat dan usaha semoga Allah membukakan ruang2 buat kami untuk mengerjakannya.Amin.

----artikel yang di email oleh hubby malam tadi untuk renungan bersama----

Umrah sudah 10 kali, tetapi haji belum, kenapa?
Date: Monday, October 25 @ 07:39:29 PDT
Topic: Artikel

Oleh Lanh

PERBEZAAN ketara haji dan umrah adalah dari segi masa dan amalan rukun dan wajibnya. Umrah boleh dikerjakan pada bila-bila masa sedangkan haji ada musimnya iaitu setahun sekali pada bulan-bulan haji (Syawal, Zulkaidah dan Zulhijah).

Rukun haji dan umrah adalah sama kecuali pada bab wukuf di Arafah. Wukuf hanya ada pada ibadat haji manakala rukun yang sama adalah niat serta memakai ihram, tawaf, saie, bercukur/bergunting dan akhirnya tertib.

Bagi wajib haji ada empat tambahan berbanding wajib umrah yang ada dua saja. Tambahan itu adalah bermalam di Muzdalifah, melontar Jamrah Aqabah, bermalam di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah pada Hari Tasyriq. Wajib haji dan umrah yang sama adalah niat dan berihram di miqat dan meninggalkan segala larangan dalam masa ihram.

Adalah sangat penting untuk jemaah tahu bahawa rukun haji dan umrah adalah perkara yang MESTI dilakukan, jika ada yang tertinggal, haji atau umrahnya tidak sah. Wajib haji dan umrah pula bermaksud perkara yang MESTI dilakukan, tetapi jika ada yang tertinggal haji/umrahnya sah tetapi dikenakan dam.

Sudah menjadi kebiasaan orang Malaysia sekarang ini kerap menunaikan umrah. Malah ada yang berulang-ulang kali melakukan sehingga ada yang melakukannya setiap tahun. Ada orang kaya dan ternama dilaporkan sudah menunaikannya sehingga 10 kali tetapi belum juga berhaji.

Melakukan umrah yang banyak tidak sama sekali menggugurkan tuntutan menyempurnakan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji dan sungguh gerun mendengar ancaman Allah SWT terhadap orang yang enggan menunaikannya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 97 yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia (orang Islam) mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan siapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Seorang ustaz dalam kuliah mingguan di masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini, menyatakan kesalnya ada orang yang mahu berangkat menunaikan haji tetapi tidak sedia berubah untuk melaksanakan perintah Allah seperti memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya bagi perempuan apabila kembali semula ke tanah air.

Katanya, adalah tidak wajar untuk seseorang itu berkata, dia belum bersedia untuk mematuhi perintah Allah kerana siapakah kita untuk berkata demikian sedangkan nyawa kita dalam tangan-Nya, bila-bila masa saja Dia boleh mencabutnya, tidak kira kita bersedia atau tidak.

Antara amalan paling mencabar dalam melengkapkan ibadat haji adalah wukuf di Arafah, kemudian perjalanan ke Muzdalifah, seterusnya bermalam di Mina dan melontar di jamrah.

Inilah kegiatan dan hari-hari penuh bermakna bagi seseorang jemaah haji. Semua pengalaman ini tidak dialami oleh mereka yang menunaikan umrah. Namun, mungkin semasa menyertai pakej umrah, mutawif akan membawa mereka menziarahi kawasan-kawasan ini. Diharapkan dengan melihat tempat-tempat manasik haji ini akan tergerak hati mereka untuk menunaikan haji dengan seberapa segera.


Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang tersangat penting. Tiada wukuf tiadalah haji. Seseorang jemaah itu dikehendaki berada di bumi Arafah walaupun sekejap saja di antara selepas tergelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijah. Adalah mustahak diingati bahawa seseorang itu perlu dalam keadaan sedar di Arafah itu, orang yang hilang akal atau pitam atau gila sepanjang masa wukuf itu, tidak menepati syarat sah wukuf.

Penuhilah masa di Arafah itu dengan bertalbiyah, berzikir, beristighfar, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah SWT. Selain solat waktu yang dilakukan secara berjemaah, seseorang itu boleh mengasingkan dirinya daripada orang ramai, dan apabila bersendirian akan terasalah gegaran hati ketika bermunajat, mengakui dosa seterusnya memohon ampun kepada Allah SWT. Saat itu terasa Allah SWT tersangat dekat dengan kita.

Akan berlinanglah air mata, teresak-esak tangisan apabila berdoa yang antara lain berbunyi: “Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku pohon akan Dikau dengan kemuliaan zat-Mu dengan kemurahan-Mu yang kekal abadi, dengan segala nama-Mu Yang Maha Besar, dengan apa yang diturunkan ke atas nabi-Mu, Sayidina Muhammad s.a.w. dan sekalian saudara-saudaranya daripada nabi-nabi dan rasul-rasul serta keluarganya, sahabat-sahabatnya dan sekalian pengikut mereka daripada golongan ulama-ulama yang beramal, wali-wali yang salih.

“Dengan kehormatan di hari itu bahawa Engkau memberi rahmat ke atas Nabi Muhammad, bahawa Engkau ampunkan kami, kedua-dua ibu bapa kami, anak-anak kami, saudara-mara kami, sekian kaum keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami, mereka yang berbuat baik kepada kami, mereka yang mempunyai hak ke atas kami, mereka yang kami zaliminya atau menyakitinya, dan sekalian orang-orang Islam lelaki dan perempuan sama ada yang hidup atau mati.

“Engkau memberi rezeki dan kebajikan kepada kami dan mereka itu di dunia dan akhirat dan Engkau peliharakan kami dan mereka daripada segala bencana. Engkau jauhkan mala
petaka dunia dan akhirat. Bahawa Engkau kurniakan kepada kami ilmu pengetahuan yang berguna dan amalan yang salih. Engkau peliharakan kami daripada perbuatan-perbuatan jahat sama ada daripada manusia, jin, binatang yang buas dan lain-lainnya.

“Engkau matikan kami dan mereka dalam husnulkhatimah, wahai Tuhan kami berilah kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan, peliharalah kami daripada azab neraka, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya, sahabat-sahabatnya. Maha Suci Engkau ya Allah daripada segala sifat kekurangan. Salam sejahtera ke atas sekalian rasul-rasul dan segala pujian itu tertentu kepada Allah yang memiliki sekalian alam.”

Tiada ulasan: