Jumaat, 17 April 2009

AnAK MeLAWaN

Bukan satu hal yang mudah untuk mendidik anak-anak sekiranya mereka melawan setiap arahan atau kata yang ibu bapa suarakan. Pasti ramai yang pening kepala memikirkan bagaimana untuk berdepan dengan situasi sebegitu dan mahu sikap kurang ajar ini berakhir secepat mungkin.

Apa pun, pendekatan terbaik adalah bersikap tegas dan bijak.
Luangkan sedikit masa untuk berfikir. Kita memerlukan dua orang untuk bertengkar. Anak-anak tidak mampu bergaduh dengan sendirinya dan jika berlaku keadaan ini dikira sebagai membebel seorang diri.

Untuk mengetahui lebih lanjut, teliti cadangan-cadangan di bawah ini.

* Katakan sekali sahaja
Praktikkan dengan menggunakan kes anda sebagai contoh dan kemudian usah mengungkit lagi. Biarkan sahaja komen kurang enak daripada anak anda. Jika perlu, tinggalkan situasi itu. Biarkan anak menyesuaikan diri dengan perkataan - Sudah!

* Berikan mereka peluang merungut sedikit
Asalkan segalanya dilakukan tanpa melampaui batas, anak anda boleh diberi peluang menyuarakan perasaannya. Pada kebiasaannya, dia mungkin akan berkata: 'Mengapa perlu saya buat begitu?' Tetapi, ingatlah bahawa persoalan itu tidak semestinya dijawab.
Lazimnya, bebelan si anak sebenarnya bermakna: 'Saya akan buat walaupun saya sebenarnya tidak suka melakukannya.

* Tetapkan peraturan untuk berdebat
Sesetengah kanak-kanak sebenarnya suka berdebat tentang sesuatu isu. Jika anak anda sukakan idea ini, pastikan peraturan ditetapkan tentang bila dan bagaimana isu ini boleh didebatkan.

Misalnya, larangan meninggikan suara, tidak memanggil dengan nama yang bukan-bukan dan mendengar pandangan orang secara senyap. Syarat-syarat itu sebenarnya menjadi latihan terbaik untuk anak belajar bagaimana membuat pilihan dalam hidup pada kemudian hari.
Selain itu, anak anda juga perlu memahami kebenaran bahawa terdapat sesetengah perkara yang tidak boleh diperdebatkan. Ia menjadi hak mutlak atau sesuatu yang lebih baik untuk membiarkan ibu bapa membuat keputusan. Ibu bapa juga perlu memberikan satu jawapan standard andainya segelintir isu tersebut tidak boleh diperdebatkan. Contohnya, memberi jawapan seperti 'perkara ini tidak harus dibincangkan.

* Berikan pilihan
Daripada sekadar memberi anak arahan, cuba tawarkan anak untuk membuat pilihan atau alternatif. Anak yang suka berdebat biasanya tidak akan mempunyai banyak peluang untuk berlatih kemahiran tersebut jika anda menawarkannya pilihan.

Misalnya, elakkan daripada berkata: 'Buat kerja rumah awak sekarang juga!' Sebaliknya, anda boleh memberikan alternatif kepada anak dengan berkata: 'Adakah awak mahu buat ulang kaji atau basuh pinggan mangkuk dahulu?' Jika jawapan yang diberikan adalah 'bukan kedua-duanya', mungkin anda boleh memberi senyuman manis dengan berkata: 'Jadi, tiada satu pun antara dua pilihan itu yang awak mahu?

* Fikir balik
Mengata di belakang bukanlah satu tabiat yang terpuji. Anak yang melawan cakap ibu sekali-sekala besar kemungkinan akan terus melakukan perkara yang sama atau keadaannya boleh bertambah teruk. Jadi, jika ibu bapa memberi maklum balas secara tenang dan dengan autoriti, tabiat buruk itu akan berhenti dengan sendirinya.

* Jelaskan harapan anda
Luangkan masa untuk membincangkan perkara ini dengan anak. Beritahu anak tentang akibat yang bakal dihadapinya jika berlaku cakap-cakap di belakang. Antara akibat itu adalah anak hilang keistimewaan yang dinikmatinya sekarang seperti penggunaan telefon, menonton televisyen atau peluang melawat kawan.

* Jangan biarkan
Bila-bila sahaja anak melawan kata-kata anda, hentikanlah perbualan itu dengan serta-merta. Jika perlu, keluarlah dari bilik atau tinggalkan anak sebentar. Sekiranya anak mengekori anda, jadilah seorang yang tenang tetapi tegas dan beritahunya bahawa anda tidak dapat bertoleransi terhadap sikapnya yang tidak menghormati anda. Apabila berada dalam keadaan tenang, anda boleh memutuskan akibat atau hukuman yang setimpal untuk anak-anak yang melawan cakap anda.

* Didik
Jika anak anda yang biasanya menunjukkan rasa hormat tiba-tiba berubah sikap, renung matanya dengan bersungguh-sungguh dan berkata: 'Itu melawan cakap dan ini tidak sesekali dibenarkan!

Teruskan perbualan itu jika dia tidak melawan kata dan pastikan anak memenuhi permintaan anda. Sebaliknya, elakkan daripada berdebat mengenainya.

Tiada ulasan: